Permintaan tinggi terhadap hampir setiap bahagian pada Harimau Malaya menyebabkan nilai pasaran spesies terancam itu mencecah RM1 juta.
SEREMBAN – Seorang penternak kambing biri-biri di Kampung Geylang, Pertang, Jelebu dekat sini terperanjat besar pagi ini apabila menemui 15 ekor haiwan ternakannya itu mati di kandang, dipercayai akibat dibaham oleh harimau.

Penyelaras DUN Pertang Azmi Abd Rahman berkata pihaknya menerima aduan berkenaan kejadian itu daripada seorang penduduk kampung.

Beliau berkata penternak kambing biri-biri itu itu menyedari kambingnya mati semasa mahu memberi haiwan itu makan kira-kira pukul 8.00 pagi.

“Sejurus memasuki kandang, dia mendapati 15 ekor kambingnya mati dipercayai akibat dibaham harimau berdasarkan keadaan bangkai itu yang disiat kulitnya sehingga menampakkan tulang rusuk,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi yang juga Bendahari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung berkata, kejadian haiwan peliharaan diserang harimau ini merupakan kali ke dua dilaporkan sekitar sini, selepas kejadian pertama berlaku sekitar dua bulan lalu.

“Sebelum ini Jabatan Perhilitan memasang perangkap di sekitar kawasan kandang itu, namun sehingga kini tidak ada haiwan yang ditangkap,” katanya.

Beliau berharap agar pihak berwajib mengambil tindakan bagi mengelak kejadian lebih serius yang boleh mengancam bukan sahaja nyawa ternakan, tetapi juga keselamatan penduduk kampung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Negeri Sembilan ketika dihubungi memberitahu pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kejadian itu.- MalaysiaGazette