Pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia. .foto FAREEZ FADZIL, 15 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan Harimau Malaya bakal berdepan tiga pasukan antarabangsa pada kalendar perlawanan antarabangsa FIFA yang akan datang.

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam berkata, tiga pasukan itu bersetuju untuk menyertai kejohanan empat penjuru yang dianjurkan oleh badan bola sepak negara itu.

“FAM hari ini dengan sukacitanya mengumumkan tiga pasukan luar telah memberikan pengesahan berminat untuk menyertai kejohanan empat penjuru yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada tarikh perlawanan antarabangsa FIFA, Mac ini,” ujar Stuart melalui kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Facebook FAM semalam.

Sebelum ini FAM telah menerima surat pengesahan dari New Zealand dan Oman untuk menyertai kejohanan tersebut.

Semalam FAM turut menerima pengesahan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) yang turut berminat mengambil bahagian.

FAM turut mengesahkan kejohanan tersebut belum mempunyai nama rasmi, tarikh dan venue yang akan diumumkan dalam satu media sedikit masa lagi.

Namun tarikh kejohanan berkemungkinan besar akan dilangsungkan diantara 18 sehingga 26 Mac yang membenarkan setiap pasukan bertanding melalui dua perlawanan di dalam tempoh itu.

Oman kini berada di tangga ke-89 ranking FIFA, New Zealand di tangga ke-109, Malaysia ke-167, dan Singapura di tangga ke-165 dunia.-  MalaysiaGazette