Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan (tengah) bersama Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (tiga kanan) bersalaman dengan penyokong parti PAS sambil diiringi Pengarah Pilihan Raya BN PRK DUN Semenyih, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan) pada Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih 2019 di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 16 FEBRUARI 2019

KAJANG – Barisan Nasional (BN) memilih calon yang amat sesuai dan bijak memetik masalah rakyat selain berupaya menyelesaikan keluhan pengundi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Zakaria Hanafi merupakan calon paling layak dan sesuai untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih walaupun sekadar berkelulusan ijazah sarjana muda dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Calon kita penting jadi calon masyarakat, bukannya calon saintis roket yang idak kenal orang, tak campur atau kekok dengan orang awam.

“Dia memang sudah lama bersama dengan orang Beranang, dikenali ramai.

“Kita bukannya tak ada calon yang mempunyai kelulusan Doktor Falsafah (PhD), malah mereka sudah tamatkan PhD. Bukan PhD sekerat jalan, sebaliknya PhD yang lengkap tapi kita pilih yang amat sesuai supaya sentiasa bersama rakyat,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon PRK Semenyih di sini hari ini.

Mohamad mengakui suara wakil rakyat BN di Selangor kini tenggelam kerana kekurangan pemimpin peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mengakibatkan suara rakyat diketepikan dan politik dilebihkan daripada agenda membela rakyat.

“”Kita tak nak gempur kubu pembangkang siapa siapa, kita nak buat kerja kempen pilihan raya. Kita mengajak orang beri kita peluang supaya dalam DUN walaupun kemenangan nanti tidak mengubah struktur pentadbiran negeri, tetapi jadi wakil rakyat ketengahkan suara rakyat Semenyih yang diketepikan selama ini.

“Apabila suara kita (BN) tenggelam di negeri (Selangor) maka suara rakyat diketepikan agenda politik (PH) dilebihkan,” ujar beliau.

Dalam pada itu Mohamad menjelaskan Pas dan BN akan bekerjasama untuk merapatkan persahabatan dua parti yang tidak akan terhenti selepas PRK.

“Kerjasama ini akan diteruskan demi memartabatkan suara rakyat pelbagai bangsa dan agama, termasuk pembangunan negara diteruskan.

“Kita akan menjalin kerjasama mengajak dan pujuk orang beri kita peluang supaya ada wakil mereka di DUN.

“Jadi adalah mustahak bagi PRK Semenyih ini supaya mandat diberikan kepada BN supaya kita dapat melebihkan suara, dapat jadi lima kerusi DUN. Walaupun tak ubah struktur kerajaan, dia tak jadi kudis kepada PH tapi untuk rakyat ini satu kemenangan rakyat menambah wakil di DUN,” katanya.

Ditanya potensi menang dan mendekati kira-kira 7,000 pengundi India di Semenyih, Timbalan Presiden UMNO itu menegaskan, kemenangan penting dengan sokongan pengundi India yang turut berdepan pelbagai masalah yang gagal dibela pemimpin tempatan selama ini. – MalaysiaGazette