Tambak Sheikh Jaber
Tambak Sheikh Jaber

KUWAIT CITY – Kuwait bakal memiliki jambatan terpanjang dunia, Tambak Sheikh Jaber, yang merentasi Teluk Kuwait yang menghubungkan Kuwait City dengan Subiya.

Jarak keseluruhan jambatan tersebut adalah 48.53 kilometer (km), kira-kira 7 km lebih panjang daripada jamabatan Haiwan di Qingdao di wilayah Shandong, China.

Kerja-kerja pembinaan projek itu dilaporkan berada di peringkat akhir dan Hyundai Engineering & Construction (Hyundai E&C) akan menyiapkan projek tersebut pada tahun ini, lapor zeebiz.

Projek tersebut direka dengan pembinaan jambatan sepanjang 36.1 km, yang merupakan bahagian utama, dengan 92 peratus pembinaannya telah siap.

Hyundai E&C bersama syarikat tempatan dianugerahkan projek bernilai AS$2.7 bilion itu pada 2013.

Pada pertengahan 2018, syarikat itu berkata, projek tersebut dijangka siap pada April tahun ini.

Jambatan tersebut dijangka dapat mengurangkan waktu perjalanan antara Kuwait City dengan Subiya kepada 20 minit berbanding 70 minit ketika ini. – Agensi