Program Pentas Anak Muda Harapan terpaksa dihentikan kerana tidak mempunyai permit di Taman Jenaris, Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

KAJANG – Baru memasuki hari pertama kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, satu program anjuran Pemuda Pakatan Harapan (PH) yang bermula separuh jalan terpaksa dihentikan ekoran tidak mempunyai permit.

Bertempat di Tapak Pasar Malam Taman Jenaris, program yang diberi nama ‘Pentas Anak Muda Harapan’ itu dijadual memaparkan calon PH, Muhammad Aiman Zainali sebagai penceramah terakhir.

Menurut penganjur, Ammar Fauzi yang juga Presiden NGO Effort Malaysia, mereka sedar bahawa program itu tidak mempunyai permit dan terpaksa akur akan arahan daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

MGF16022019_Pentas Anak Muda Harapan_08
Presiden NGO Effort Malaysia, Ammar Pauzi bercakap kepada media pada Program Pentas Anak Muda Harapan terpaksa dihentikan kerana tidak mempunyai permit di Taman Jenaris, Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

“Kita dah mulakan program, dah buat juga, saya pun cuma pengelola saja, mungkin saya banyak undang-undang baru, saya pun orang tempatan dan bila SPR kata tak boleh, tak bolehlah.

“Kita ikut undang-undang, cuma kelemahan saya, bukan Pakatan Harapan, saya yang anjur ni tak pandai dengan permit.

“SPR bagi penerangam cukup baik, dia cakap tak apa, kamu buat juga makan-makan ni, ia kekhilafan saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Program dimulakan dengan ceramah daripada Ketua Penerangan Pemuda PKR Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Edry Faizal.

Beberapa pegawai SPR didapati datang menaiki van yang bertulis ‘Penguatkuasa Pilihanraya’ turun dan memerintahkan agar majlis itu dihentikan sebaik kedua-dua pencerahan itu selesai memberikan ucapan mereka.

MGF16022019_Pentas Anak Muda Harapan_07
Program Pentas Anak Muda Harapan terpaksa dihentikan kerana tidak mempunyai permit di Taman Jenaris, Kajang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

Program adalah anjuran Pemuda Pakatan Harapan.

Majlis turut menganjurkan servis motosikal percuma kepada 100 pengunjung terawal.

Aiman yang dijadualkan berceramah pada malam ini bagaimanapun tidak hadir kerana menghadiri majlis perkahwinan di kawasan terdekat.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir yang turut disenaraikan sebagai penceramah berkata, beliau tidak maklum bahawa program itu tidak mendapat permit.

“Saya baru tahu bahawa program ini tidak ada permit walaubagaimanapun kita ucapkan tahniah kepada penganjur kerana dapat berurusan dengan baik dan profesional dengan pihak SPR.

“Saya mengharapkan agar selepas ini program kempen di peringkat Pakatan Harapan menurut prosedur yang ditetapkan SPR dan sama-sama cun mewujudkan budaya politik yang matang dan sesuai dengan saranan Pengerusi SPR,” katanya.

Ditanya samada program servis motosikal percuma itu menyalahi undang-undang SPR, Shazni berkata, ia terpulang kepada suruhanjaya itu untuk membuat keputusan.

“Itu kena tanya SPR sebab mereka yang akan tentukan samada ia merupakan satu kesalahan atau tidak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette