Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dengan tindakan seorang menteri yang dikatakan memberi ceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru, semalam.

Baginda bertitah mengingatkan bahawa telah menjadi peraturan bagi semua masjid di dalam negeri Johor iaitu tidak ada sesiapa dibenarkan berceramah terutama di dalam masjid atau kawasan sekitarnya kecuali yang telah mendapat tauliah dan kebenaran yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, Sultan Ibrahim bertitah bahawa pemimpin politik itu yang juga seorang Ahli Parlimen supaya segera mengadap Baginda serta memohon maaf secara bersurat serta tidak mengulangi lagi kesilapan itu.

“Semua masjid di negeri Johor adalah kawasan larangan untuk sebarang unsur politik sejak dahulu lagi. Ini merupakan tradisi negeri Johor.

“Ia adalah tempat beribadah dan menyatukan ummah. Sebarang unsur politik yang dibawa hanya akan memecahbelahkan jemaah, menjejaskan kesucian masjid serta keharmonian masyarakat,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Facebook baginda di sini hari ini.

Terdahulu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima mengadap Penasihat MAINJ, Datuk Noh Gadot dan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad.

Semalam, tular di media sosial sebuah rakaman video menunjukkan seorang pemimpin politik berceramah di dalam sebuah masjid di Johor Bahru.

Sultan Ibrahim juga bertitah supaya semua Pengerusi dan AJK masjid sentiasa mematuhi peraturan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Johor dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Ini adalah amaran terakhir, jangan sampai pisang berbuah dua kali. Saya harap pemimpin tersebut sedar akan kesilapan yang telah dibuat dan segera minta maaf.

“Masjid sebagai rumah Allah dan tempat untuk beribadah hendaklah dipelihara kesuciannya oleh semua umat Islam,” titah Sultan Ibrahim. – MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: 

TMJ gesa pantau masjid jadi tempat politik

Menteri guna masjid untuk ceramah politik tidak jadi teladan baik

 

1 Komen

  1. Jika Hubungan Tuhan-Hamba, Maka perlu Kita Tanya Tuhan, ape kah Tuhan Murka Rumah NYA di gunakan oleh Menteri untuk menerangkan sesuatu….

    Jika Hubungan ZAT-SIFAT-ASMA-AFAAL

    Maka, ape saje semesta ALAM INI, TAK LAIN TUHAN BELAKA.

Tinggalkan Jawapan