PDRM

IPOH – Seorang suspek lelaki yang menikam warga emas iaitu jiran bilik sewanya sehingga mati di Jalan Theatre, di sini, 2 Februari lalu, meninggal dunia hari ini, selepas kira-kira dua minggu menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, suspek yang berusia 30-an itu meninggal dunia pada pukul 12.55 tengah hari tadi selepas 14 hari koma di hospital berkenaan.

“Suspek yang kritikal dan koma diberi rawatan oleh HRPB dengan mesin sokongan hayat sebelum disahkan meninggal dunia 12.55 tengah hari tadi dan mayatnya akan dibedah siasat esok.

“Doktor mengesahkan setakat ini punca kematiannya adalah disebabkan ‘Several Traumatic Brain Injury With Septic Shock’,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 2 Feb lepas, seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun disahkan maut dengan kesan luka tikaman di dada dalam satu pergaduhan di sebuah bangunan tiga tingkat di jalan berkenaan manakala suspek yang menetaknya pula parah dan dirawat di HRPB.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak ACP Anuar Othman dalam kenyataan pada hari kejadian berkata pihaknya mendapati pergaduhan itu melibatkan empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita.

Katanya siasatan awal mendapati perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan antara mereka.

Menurutnya, wanita yang juga penyewa bilik di bangunan itu dikatakan cuba meleraikan pergaduhan, namun dicekik suspek, menyebabkan anak lelaki wanita itu yang berusia 30-an, bertindak menetak suspek dengan senjata tajam.

— BERNAMA