Reezal Merican Naina Merican
Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berpendapat tangisan Menteri Pertanian Salahuddin Ayub ketika membaca surat daripada seorang petani, Ibas Hamud bukan sekadar lakonan.

Reezal yang Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, beliau dapat mendengar serak suara Salahuddin yang dianggap sebagai cetusan hati ikhlas seorang menteri yang mendengar keluhan petani.

“Saya menonton video tangisan YB Menteri Pertanian berulang kali. Saya juga maklum dengan respon ramai netizen yang menganggap ianya sebagai ‘lakonan’ yang kosong semata-mata.

“Secara jujur, saya dapat rasakan serak suara dan linangan air mata seorang menteri ini bukan dibuat buat walaupun ramai mengandaikan ia tidak lebih seperti sebuah lakonan cereka. Namun saya menganggap ianya cetusan hati ikhlas seorang menteri,” kata Reezal di laman Facebook miliknya hari ini.

Kelmarin, seorang petani warga emas dari Sungai Besar berjaya membuatkan air mata Salahuddin tumpah, melalui sepucuk surat berkaitan keluh kesah golongan itu.

Ibas Hamud atau lebih mesra dengan panggilan Wak Ibas menyerahkan surat itu sebagai gimik pelancaran pada majlis pelancaran hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Serdang.

Suara Salahuddin kedengaran tersekat-sekat dan tidak dapat menahan perasaan ketika membacakan surat berkenaan lantas menitiskan air matanya.

Turut kelihatan, isteri Salahuddin, Fatimah Taha yang menenangkan beliau dengan menepuk-nepuk bahunya sambil beliau sendiri mengesat air mata dengan tisu.

Sementara itu, menurut Reezal, surat yang ditulis Wak Ibas itu mewakili naluri hati rakyat dan nelayan dan ia bukan gurauan.

“Kerumitan hidup para petani, peladang, penternak – bukan mainan. Derita sebahagian peneroka Felda dan Felcra, bukan lakonan. Menteri mengambil risiko cukup besar jika perkara begini mahu disandiwarakan.

“Kalau tangisan menteri itu mahu kita isbatkan dengan kesusahan rakyat; golongan petani, penternak, peladang dan nelayan mungkin masih punya harapan,” katanya.

Justeru, Reezal berharap agar Salahuddin mampu “bersuara” lebih lantang di dalam kabinet yang seperti tidak mempedulikan kesusahan rakyat.

Selain itu katanya, Salahuddin mesti berani menyanggah langkah penjimatan yang membebankan rakyat.

“Menteri jangan sekadar menangis lagi, tapi menaruh iltizam tinggi untuk memperjuang maslahat rakyat.

“Berbeza jalur politik jangan sampai kita menghina usaha yang baik. Ramai lagi mereka yang susah dan menderita kerana kelemahan ikhtiar kerajaan.

“Suara mereka mesti dibela. Bukan dengan tangis duka semata-mata tapi dengan suara lantang menidakkan keputusan yang mendatangkan luka,” katanya. – MalaysiaGazette