muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin. foto IQBAL BASRI, 16 FEBRUARI 2019

KAJANG – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu mengenai pembiayaan lawatan keluar negara oleh mana-mana pihak.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perkara itu diputuskan susulan daripada kontroversi penajaan rombongan polis oleh syarikat nombor ramalan, Dan Ma Cai.

Malah perkara itu bukan isu kerana lawatan itu telah diluluskan oleh beliau sendiri dan tidak ada percanggahan kepentingan dengan mana-mana pihak.

“Tidak perlu ada SOP baru. Lawatan di Turki Istabul itu diluluskan sendiri oleh saya. Saya tidak sembunyikan hal itu.

“Ketua Polis Negara pada waktu itu menulis pada saya kebenaran dan ia perkata normal,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih di Dewan Sri Cempaka, MPKJ, Kajang, hari ini.

Sebelum ini Muhyiddin berkata, beliau tidak mengetahui perincian mengenai lawatan PDRM yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki dibayar oleh syarikat berkenaan.

Beliau berkata, secara prinsipnya lawatan itu tiada sebarang masalah dan tugasnya sebagai menteri bertanggungjawab ke atas PDRM akan menilai terlebih dulu permohonan sebelum sebarang kelulusan lawatan ke luar negara diberikan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, lawatan PDRM yang diketuai oleh Mohamad Fuzi ke Turki dibayar oleh syarikat nombor ramalan, Da Ma Cai untuk tujuan mempelajari teknik membanteras judi dalam talian.

Menurut Setiausaha Agung DAP itu, walaupun lawatan itu diluluskan Lembaga Totalisator sebuah agensi bawah Kementerian Kewangan perbelanjaannya bukan daripada kerajaan.

“Dana bukan daripada Kementerian Kewangan.

“Sumber dana daripada Da Ma Cai, sebuah syarikat nombor ramalan. Mereka tidak dapat sesen daripada kita, PDRM ditaja untuk belajar cara banteras judi online,” katanya. -MalaysiaGazette