Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
KUALA LUMPUR Polis akan memanggil blogger kontroversi Papagomo bagi membantu siasatan berhubung insiden Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa dikasari dan diugut blogger berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, Papagomo atau nama sebenar Muhammad Azri Wan Deris akan dipanggil secepat mungkin bagi melengkapkan siasatan kes ini.

“Kami akan panggil dia (Papagomo) dan individu-individu terlibat dalam rakaman klip video berkenaan yang mengasari dan mencaci menteri berkenaan, untuk mengambil keterangan mereka berhubung kes ini.

“Polis juga akan meneliti rakaman klip video itu untuk memanggil lebih ramai lagi saksi,” katanya kepada Bernama.

Semalam, dua laporan polis berkaitan insiden melibatkan Anggota Parlimen Muar berkenaan telah dibuat setelah majlis penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Semenyih dan disiasat di bawah Seksyen 353 dan Seksyen 147/323 Kanun Keseksaan.

Dalam kenyataan Ketua Polis Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff semalam, polis menerima dua laporan tersebut daripada anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kajang.

Berikutan insiden tersebut, Syed Saddiq telah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, di sini, semalam.

Klip video yang tular di media sosial memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki. – MalaysiaGazette