Mahfuz Omar

TUN Dr. Mahathir Mohamad dalam kenyataannya semalam mendakwa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu tidak akan menyokong UMNO pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih.

Sekiranya benar kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu, ketika mengadakan pertemuan dengan Abdul Hadi, ia adalah sesuatu yang sangat mengejutkan.

Perakuan Presiden Pas itu dikatakan dibuat di hadapan Dr. Mahathir pada pagi Jumaat, sehari sebelum hari penamaan calon PRK Semenyih pada Sabtu.

Ini jelas menimbulkan persoalan apakah perakuan Abdul Hadi itu benar atau bohong semata-mata?

Pertemuan dan pengakuan empat mata itu telah menarik minat pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, tanda tanya itu timbul berdasarkan pengakuan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz, yang mana Pas menerima duit dari UMNO.

Pengakuan dalam bentuk audio itu tular dalam pelbagai media sosial selepas dikatakan ia suara Nik Mohamad Abduh dalam perjumpaan sulit pucuk pimpinan Pas baru-baru ini.

Kata Mahfuz, Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sendiri telah mengesahkan kesahihan audio tersebut biarpun Nik Mohamad Abduh pada mulanya menafikan sekeras-kerasnya.

“Nik Mohamad Abduh mengatakan Presiden Pas telah merestui tindakannya berbohong, kerana katanya, tak salah berbohong untuk menjaga kepentingan Pas,” katanya.

Timbul persoalan, apa muslihat Abdul Hadi membuat perakuan itu di hadapan Dr Mahathir, sedangkan Pas sudah menyatakan dari awal lagi akan menyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menguatkan pembangkang.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi awal-awal lagi menyatakan parti itu akan memastikan lebih 6,000 undi yang diperolehi calon Pas pada PRU14 yang lalu, akan diberikan kepada calon BN pada PRK Semenyih 2 Mac ini.

Adakah, ini sekali lagi kaedah pembohongan syarie yang dibuat oleh Pas demi kepentingan tertentu?

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man yang menyatakan, Pas akan mengerahkan seluruh jenteranya untuk membantu kemenangan calon BN di PRK Semenyih.

Tuan Ibrahim menyatakan perkara itu dalam sidang medianya selepas menghadiri program Forum Murabbi Ummah di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Dan pada hari penamaan calon semalam pula, kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, dilihatnya kelibat seorang Naib Presiden Pas bersama pimpinan yang lain mengetuai jentera Pas bersama pimpinan UMNO, BN mengiringi calon, Zakaria Hanafi.

Persoalannya, mana satu yang benar dan mana satu yang bohong?

Apakah perakuan Abdul Hadi kepada Dr. Mahathir itu dibantah oleh pimpinan Pas dan menjadikan perakuan Presidennya satu pembohongan kepada Perdana Menteri?

Atau, Pas sedang berbohong pada UMNO, BN menjadikan parti itu sebagai mangsa kedua pembohongan selepas ahli dan pengundi Pas menjadi mangsa pertama.

“Jadi, siapa sebenarnya berbohong?” tanya Mahfuz.

“Tak mungkin Dr. Mahathir berbohong, sedangkan Presiden Pas dalam kenyataannya ketika sidang media pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina di Terengganu menyatakan yang beliau mahu melihat Melayu lebih kuat dalam kerajaan,” katanya.

Kata Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, kalau mahu kedudukan orang Melayu kuat dalam kerajaan, sudah tentu tidak boleh membantu UMNO, BN di Semenyih dan perlu menangkan calon Pakatan Harapan.

Jadi, ada kebenaran kenyataan Dr. Mahathir yang Abdul Hadi menyatakan Pas tidak akan sokong dan membantu UMNO, BN pada PRK DUN Semenyih yang ditetapkan 2 Mac ini.

Jelas beliau lagi, tindakan dan pendirian pimpinan Pas ketika ini seolah flip-flop dan tidak konsisten sesama mereka, tidak menzahirkan pendirian yang sama.

Ujarnya, tindak tanduk Pas itu telah menimbulkan persoalan siapa sebenarnya yang berbohong di kalangan pimpinan Pas.

“Adakah pimpinan Pas sedang berpakat bohong secara berjemaah? Sungguh kasihan kepada ahli Pas yang sangat terkeliru dengan tindak tanduk pimpinannya,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tun has opened the can worms. Will Hadi do the same? He can’t be seen avoiding it.

    The longer he choose to keep quite, the painful it gets.

Tinggalkan Jawapan