Annuar Musa
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – UMNO mendakwa penyokong Barisan Nasional (BN) yang berhimpun memberi sokongan kepada calonnya di hari penamaan calon semalam semuanya berhemah, mesra dan baik.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa berkata, kalau ada segelintir yang bersikap agresif hanya disebabkan oleh tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang sengaja mencetuskan kemarahan mereka.

Beliau menasihatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak perlu mereka-reka provokasi mengenai kejadian semalam yang tidak mungkin berlaku jika tidak mereka tidak membuat hal.

“Tak perlu nak reka provokasi…semua (penyokong) mesra dan (dalam keadaan) ok saja..kecualilah yang sengaja nak buat hal,” katanya dalam responnya berhubung dakwaan Syed Saddiq yang beliau diperlakukan dengan kekerasan oleh blogger Papagomo.

Semalam, Syed Saddiq yang mendakwa dikasari dan diugut blogger kontroversi Papagomo, membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Way.

Dakwanya, beliau tidak mengetahui punca blogger berkenaan bertindak sedemikan dalam kejadian yang berlaku di pusat penamaan calon PRK DUN Semenyih di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian, Kajang.

“Saya tidak tahu apa niat Papagomo yang tiba-tiba mencekak bahagian belakang leher saya dengan kuat ketika saya bersama tiga lagi rakan hendak meninggalkan pusat penamaan calon PRK Semenyih,” kata Ketua Armada PPBM itu kepada pemberita selepas membuat laporan polis pada 2 petang semalam. – MalaysiaGazette