Pakir di Putrajaya dikenakan SST sejak Jumaat lalu. foto FB Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berperingkat-peringkat secara senyap-senyap.

Mulai 1 Mac nanti, SST akan diperluaskan kepada empat perkhidmatan baharu iaitu perkhidmatan pengendalian taman hiburan, penyediaan pembrokeran dan penaja jaminan, pembersihan serta penyediaan latihan dan tunjuk ajar.

Kira-kira 5,000 hingga 10,000 lagi perniagaan yang sebelum ini dikecualikan akan diarahkan untuk kutip cukai SST, dakwa Najib.

Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, kanak-kanak yang ingin sedikit hiburan, rakyat yang basuh baju di dobi, pelabur yang hendak beli saham, mereka yang ingin meningkatkan ilmu mereka di kursus latihan dan banyak lagi juga akan dikenakan cukai baharu.

Pakir di Putrajaya dikenakan cukai itu sejak Jumaat lalu.

“Apa yang kebanyakan Rakyat tidak sedar ialah kerajaan PH sedang memperluaskan cukai SST secara berperingkat kepada lebih banyak barangan dan servis sejak diperkenalkan dengan senyap-senyap.

“Mereka senyap-senyap tibai tanpa rakyat sedar,” kata bekas Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook sebentar tadi.

Menurut Najib, kenyataan Menteri Kewangan, dan seorang Ahli Parlimen PH bahawa hanya pengilang sahaja yang dikenakan SST adalah tidak benar.

“Tetapi kini kita tahu itu tipu,” katanya. – MalaysiaGazette