Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

PASIR MAS – Parti Amanah Negara (Amanah) yakin pendekatan ‘bohong’ yang diamalkan oleh pemimpin PAS akan menyebabkan parti pembangkang itu akan kehilangan kepercayaan anggota terhadap parti, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Katanya beliau menyifatkan PAS sebagai parti yang tidak boleh dipercayai, yang boleh menjejaskan imej perjuangan Islam.

“Terbukti PAS sebuah parti berbohong kerana mereka sendiri mengaku (berbohong) berhubung isu rakaman audio yang sebelum ini dinafikan. Malah, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan menerusi pertemuan (dengan PAS), PAS tidak menyokong calon Barisan Nasional (di Pilihanraya Kecil DUN Semenyih), namun pemimpin mereka hadir pada hari penamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Pejabat Amanah kawasan Pasir Mas di Kampung Jias, di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata beliau tidak mengetahui sejauh mana perbincangan Dr Mahathir dan PAS dalam pertemuan antara Perdana Menteri dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini, namun menurutnya apa yang dikatakan PAS hari ini, semuanya disifatkan beliau sebagai berbohong.

— BERNAMA