Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR – Pembatalan pemberian subsidi kepada bakal jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring mahram adalah satu pengkhianatan kepada umat Islam di negara ini.

Tindakan membatalkan subsidi kepada perayu itu sekali gus mencerminkan dasar dan pendekatan kerajaan PH mula menekan umat Islam khususnya mereka yang kurang berkemampuan.

Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata, Tabung Haji ini adalah institusi yang sepatutnya membantu memudahkan rakyat Malaysia beragama Islam pelbagai lapisan (kewangan) untuk menunaikan Rukun Islam kelima iaitu menunaikan haji.

“Dengan membatalkan subsidi itu, hasrat ramai umat Islam khususnya yang kurang berkemampuan untuk menunaikan haji akan hancur, lebih-lebih lagi mereka yang terpaksa menabung berpuluh tahun untuk melunaskan bayaran penuh sebanyak RM22,900 (tanpa subsidi).

“Tabung Haji diberi bertanggungjawab untuk mengurus pelbagai kemudahan demi kebajikan jemaah haji negara ini secara komprehensif dan sistematik, justeru institusi itu tidak harus dipolitik dan diperkotak-katik apatah lagi menekan umat Islam,” tegas Ahli Parlimen Parit Sulong itu.

Beliau mengulas mengenai tindakan Tabung Haji untuk mengenakan kos sebenar kepada individu yang merayu untuk mengerja haji dan mana-mana pengiring mahram.

Dengan pengecualian itu, golongan itu perlu membayar sejumlah RM22,900 seorang berbanding RM9,980 bagi mereka yang ditawarkan untuk mengerjakan haji.

Tabung Haji berkata, ia menerapkan konsep Istito’ah dalam pelaksanaan haji dan jemaah haji menunaikan ibadat itu lebih awal daripada tahun yang diperuntukan.

Pelaksanaan peraturan itu berkuatkuasa serta-merta. – MalaysiaGazette