Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihat berhenti bersandiwara kononnya dikasari dan lehernya dicekak oleh Muhammad Azri atau Papagomo sewaktu melalui kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) di pusat penamaan calon pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih, semalam.

Ini kerana, ramai pihak telah tampil berkongsi video paparan sebenar kejadian semalam, bahkan membuat laporan polis menafikan dakwaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung terus dengan Papagomo untuk dapatkan penjelasan.

“Beliau memaklumkan kepada saya hanya memegang bahu YB Syed seraya berkata “Kau ini bodoh bro!” untuk mengelakkan daripada beliau diapa-apakan setelah secara sengaja masuk melalui kawasan BN yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

“Justeru, saya ulangi nasihat saya kepada YB Syed Saddiq sudah-sudah lah bersandiwara,” katanya melalui Facebook sebentar tadi.

Asyraf berkata, tindakan Syed Saddiq yang tidak mengikut arahan keselamatan dan ‘zoning’ SPR serta sanggup menipu laporan polis benar-benar menyerlahkan betapa terdesaknya Bersatu untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Semenyih ini.

Tambahnya lagi, Syed Saddiq harus sedar bahawa Seksyen 182 Kanun Keseksaan memperuntukkan denda RM2,000 atau/dan penjara 6 bulan sekiranya disabitkan kesalahan.

Kesalahan itu juga boleh menyebabkan kelayakan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar digugurkan. – MalaysiaGazette