Muhammad Aiman Zainali. f
Muhammad Aiman Zainali. foto IQBAL BASRI, 17 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali berhasrat membangunkan sebuah hospital untuk kegunaan penduduk di kawasan ini.

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan Hospital Kajang yang digunakan oleh penduduk di kawasan Kajang dan Semenyih tidak lagi mampu menampung bilangan pesakit yang semakin ramai.

“Hospital Kajang penuh, saya pun memang duduk di Semenyih bila kita tengok di kawasan Beranang, Bandar Tasik Kesuma, Taman Pelangi Semenyih besar, ada 54,000 pengundi, kita cuma ada klinik kesihatan tak cukup menampung keperluan penduduk di sini.

“Jikalau pengundi memilih dan kita menang itu akan jadi keutamaan kami,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan walkabout di medan selera Pertubuhan Peladang Kawasan Beranang di sini hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Aiman tidak menjadikan perkara itu sebagai janji dalam manifestonya yang akan diumumkan nanti, sebaliknya ia adalah satu perancangan masa hadapan.

Katanya, keputusan itu akan dibuat oleh pihak atasan dan perkara tersebut akan dibawa untuk diketengahkan

Dalam pada itu beliau berkata, hasrat untuk membangunkan sebuah hospital di Semenyih tetap akan diperjuangkan meskipun, beliau tidak menjadi wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai sifatnya yang dilihat pemalu dan kurang mesra kepada rakyat, Aiman berkata, ia merupakan satu fitrah dan sifat semulajadinya. – MalaysiaGazette