Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Khaled Nordin (kiri) bersama Calon BN PRK N.24 Semenyih, Zakaria Hanafi (tengah) ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Pasar Malam Tasek Kesuma, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – UMNO dan Barisan Nasional (BN) tetap menghormati keputusan mahkamah hari ini yang mengisytiharkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dulu tidak sah.

Menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin, parti itu harus menerima secara terbuka dan perlu merencanakan prestasi terbaik dalam memastikan kerusi itu kekal milik UMNO pada pilihan raya kecil kelak.

“Kita telah dengar keputusan mahkamah yang menolak rayuan dan ini bermakna kita akan menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau.

“Kita menghormati keputusan itu dan saya percaya BN telah bersedia untuk meletakan calon bagi mempertahankan kerusi tersebut.

“Saya percaya sebagaimana di Cameron Highlands dan Semenyih, kita akan buat lebih baik untuk mempertahankan kerusi itu,” katanya ketika ditemui sempena walkabout di pasar malam Tasek Kesuma bersama calon BN PRK DUN Semenyih,  Zakaria Hanafi hari ini.

Malah Khaled berkata, ahli UMNO tidak perlu risau akan status bekas ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO kerana jawatan itu adalah pilihan tiga juta ahli parti.

Jelasnya, status itu tidak berubah walaupun beliau tidak memegang sebarang kerusi.

“Ramai dalam UMNO bukan wakil rakyat, jadi kalau kerusi hilang dia tidak akan menjejaskan kedudukan,” jelas beliau lagi.

Bekas Menteri Besar Johor itu mengulas mengenai Mohamad  atau Tok Mad yang gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban.

Panel lima hakim yang diketuai Tan Sri Richard Malanjum mengumumkan keputusan itu pada pukul 1.20 tengah hari tadi.

Hujah bagi rayuan Timbalan Presiden UMNO itu bermula pukul 11.50 pagi melibatkan peguam pempetisyen Dr. S. Streram yang  diwakili Muhammad Haniff Khatri manakala barisan peguam Mohammad diketuai Datuk Hafarizam Harun.

Pada PRU-14 lalu, Tok Mad menang kerusi itu tanpa bertanding selepas Amino Agos tidak membenarkan Dr. Streram masuk ke pusat penamaan calon kerana tiada pas calon SPR. -MalaysiaGazette