Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin

SEMENYIH – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil maklum kemelut politik yang ketika ini menimpa parti itu di Perak.

Presidennnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, faktor kemelut itu telah dikenalpasti dan akan dibincangkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih nanti.

“Ya, saya  sudah maklum sebab itu (kemelut). Tapi kita minta untuk bincangkan perkara berkenaan selepas PRK.

“Sebab kita tidak mahu lari matlamat dan tumpuan. Lepas habis sahaja PRK, kita akan bincang berkenaan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Sembang Santai bersama beliau di Warung Kak Ting di Pekan Beranang  hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas desakan lapan Ketua Bahagian Bersatu Perak yang enggan menerima notis pembuburan bahagian masing-masing sambil mendesak Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletakkan jawatan.

Mereka mendakwa, Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar perlu meletakkan jawatan kerana gagal dan tidak mampu mentadbir urus parti berkenaan dengan baik.

Menurut mereka, perkara paling ketara ialah pembubaran beberapa bahagian parti itu di negeri itu yang dikatakan tidak mengikut perlembagaan parti selain alasan pembubaran yang tidak sah.

Malah salah ada seorang ketua bahagian Bersatu di negeri itu mencadangkan supaya Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang baharu menyertai Bersatu menggantikan Ahmad Faizal. – MalaysiaGazette