Kevin Ramalingam
Kevin Ramalingam

KUALA LUMPUR – Pengarah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mempunyai kuasa untuk menyingkirkan mana-mana pasukan yang tidak mampu meneruskan saingan dalam Liga Malaysia (Liga-M) 2019 termasuk Perlis FA yang berdepan masalah kewangan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata walaupun kesemua tujuh pasukan sudah menghantar semua dokumen diminta pihaknya sebelum tarikh tutup pada hari ini, MFL masih perlu meneliti kandungan dan kesahihan dokumen tersebut.

Beliau berkata ia termasuk menyemak kedudukan kewangan pasukan serta status dan pendaftaran syarikat penaja yang dikemukakan pasukan-pasukan tersebut dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Keputusan menyingkirkan pasukan telah dilakukan pada tahun lepas melibatkan kes Kuantan FA dan kita sedar ia perkara yang boleh juga dilaksanakan pada tahun ini. Tetapi, ia perlu mengambil kira banyak perkara dan bukan hanya khabar angin dan maklumat daripada media sosial semata-mata.

“Pegawai Pematuhan MFL, Desmond Dominic Raju bersama Unit Perundangan dan Kewangan akan bekerja keras untuk 24 jam seterusnya bagi meneliti semua dokumen tersebut.

“Maklumat tersebut kemudian akan diberi kepada Lembaga Pengarah membuat keputusan menerusi pekeliling kerana kita kesuntukan masa untuk memanggil mesyuarat. Kami harap keputusan itu boleh dibuat pada Rabu,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian pusingan pertama Piala FA 2019 di Petaling Jaya hari ini.

Sabtu lepas, MFL mengarahkan tujuh pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji supaya menghantar maklumat tambahan mengenai status kewangan pasukan dalam masa 48 jam.

Antaranya, Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang sebelum ini dilaporkan dilanda masalah kewangan sehingga gagal melunaskan bayaran gaji pemain pada awal musim ini, selain turut mempunyai tunggakan gaji 18 pemain tahun lepas.

Kevin turut menjelaskan pihaknya harus meneliti semua maklumat dikemukakan kerana keputusan bakal diambil Lembaga Pengarah itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan, malah turut melibatkan pemegang taruh lain.

“Contohnya, ia akan memberi kesan kepada penyokong pasukan itu sendiri yang mencintai dan memberi sokongan padu kepada pasukan itu sejak begitu lama. Bagi penaja-penaja kecil baru berminat memasuki (arena penajaan) bola sepak, perkara seperti ini mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan penajaan dalam industri bola sepak,” katanya.

Ditanya mengenai status Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM), Kevin berkata pencarian Pengurus Besar untuk menerajui badan itu berjalan lancar dan beberapa keputusan pengadil dalam Liga-M yang boleh dipertikaikan mengukuhkan lagi keperluan mewujudkan badan pengadil bebas tersebut. – BERNAMA

Tinggalkan Jawapan