Benjamin Netanyahu. foto Agensi

TEL AVIV – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengadakan perjumpaan secara rahsia dengan Menteri Luar Maghribi, Nasser Bourita pada Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York pada September lalu, kata seorang pegawai Israel kepada laman sesawang Axios.

Pada pertemuan itu, Netanyahu dilaporkan memberi penekanan mahu memulihkan hubungan Israel dengan Maghribi dan beliau berminat untuk melawat negara di utara Afrika itu.

Israel tidak mempunyai hubungan formal dengan Maghribi sejak bermulanya Intifada kedua pada 2000, apabila pejabat perhubungan dua hala kedua-dua negara dibuka pada 1995 berikutan pemeteraian Perjanjian Oslo.

Pegawai Israel itu juga memberitahu Axios bahawa Netanyahu dan Bourita membincangkan cubaan menentang tindakan Iran di rantau tersebut.

Rabat telah memutuskan hubungan dengan Tehran berikutan dakwaan usaha Iran untuk campur tangan dalam hal ehwal negara itu.

The Times of Israel melaporkan, jurucakap Kementerian Luar, Emmanuel Nahshon berkata, beliau tidak tahu mengenai pertemuan tersebut dan Pejabat Perdana Menteri berkata bahawa ia ‘tidak membuat ulasan terhadap hubungan dengan negara yang mana Israel tidak mempunyai hubungan rasmi’.

Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul spekulasi hubungan Israel-Maghribi, termasuk Netanyahu mahu mengatur lawatan ke negara itu sebelum pilihan raya Israel diadakan pada 9 April ini. – Agensi