Anwar Ibrahim
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto SYAFIQ AMBAK, 06 FEBRUARI 2019

SHAH ALAM – “Adakah awak mahu mereka dipecat? Awak tulis surat kepada saya,” demikian kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil berseloroh kepada pemberita.

Sebaliknya Anwar menegaskan khabar angin mengatakan dua pemimpin utama PKR akan dipecat hanyalah cubaan pihak tertentu untuk mengalihkan fokus parti itu kepada masalah negara.

“Saya tak pernah dengar dan tidak relevan kepada saya, ini hanya cubaan pihak tertentu untuk mengalihkan fokus utama kita.

“Fokus utama kita masalah negara harus diatasi oleh pimpinan dan semua parti ialah ekonomi. Rakyat berang dengan kenaikan harga barang, kita mahu polisi jelas untuk membantu mereka.

“Keseluruhan jentera kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) mesti lihat perkara ini dan bantu kerajaan serta Kabinet menyelesaikan masalah utama ini.

“Saya fikir tidak perlu kita layan semua khabar angin, spekulasi dan ahli politik terdesak,” katanya pada sidang media selepas Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi serta Naib Cancelor UNISEL, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Laporan yang mendakwa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti telah tular dalam laman media sosial termasuk Facebook dan Twitter, sejak beberapa hari lalu.

Malah khabar angin turut bertiup kencang apabila dua pemimipin tertinggi PKR itu telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selepas disingkirkan daripada parti. – MalaysiaGazette