Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) bersalaman dengan penduduk, Muha Aziz, 39, selepas pada Program Sembang Santai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Warung Kak Ting, Pekan Beranang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak percaya Tun Dr. Mahathir Mohamad berbohong dalam kenyataan mengenai Pas yang berjanji tidak  akan menyokong Barisan Nasional (BN) dalam PRK DUN Semenyih.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu lebih mempercayai kenyataan  Mahathir berbanding pemimpin Pas.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penafian pemimpin Pas hanyalah untuk mengalihkan isu sumbangan RM90 juta yang masuk ke dalam parti itu hasil wang 1MDB.

“Saya tidak pasti apa isi kandungan pertemuan itu sebenar sebab saya tiada privilege (keutamaan) untuk mengetahuinya. Pastinya yang lebih tahu adalah Dr. Mahathir dan beliau akan hadir ke sini pada 28 Februari (ini) dan beliau akan beritahulah mengenainya.

“Mungkin beliau akan menjelaskan lebih terperinci. Saya yakin dengan kenyataan Dr. Mahathir bukanlah kenyataan yang direka, bukan dia (Mahathir) tak faham bahasa, takkan beliau tak tahu kenyataan itu tak betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Sembang Santai bersama beliau di Warung Kak Ting di Pekan  Beranang di sini hari ini.

Muhyiddin sebelum itu diminta mengulas pendedahan Dr Mahathir yang mendedahkan bahawa Pas tidak akan membantu BN dalam PRK Semenyih kali ini.

Mahathir sebelum itu turut mendedahkan pengakuan itu dibuat secara bertulis serta ditandatangani oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengenai persetujuan tidak menyokong BN dan UMNO.

Namun Takiyuddin menafikannya semalam sambil mendakwa dua parti komponen Pakatan Harapan (PH) mungkin merancang untuk menyingkirkan Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Muhyiddin menambah, Pas kini seolah-olah terperangkap apabila timbul kenyataan yang berbeza mengenai isu itu.

“Macam biasalah dia boleh bohong, oh tidak.. saya nafikan dan apa yang kita dah tahu, apa yang berlaku dengan Pas.

“Jadi pada kita apa yang penting, apa yang Dr. Mahathair kata, Pas di Semenyih ini tidak sama dengan Cameron Highlands.

“Maknanya di sana dia sokong UMNO, maknanya apa? Dia kata tidak sama dengan Cameron Highlands maknanya tak sokonglah atau sokong sikit-sikit. Susah kita nak faham,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas kata tak sokong BN tapi tak mahu isytihar – Tun M

Tinggalkan Jawapan