TERKINI : “Pertikaian AirAsia dan MAHB Perlu Dihentikan” – KWSP

KUALA LUMPUR – AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diminta menghentikan sebarang pertikaian secara terbuka kerana ia adalah amalan yang tidak sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata, selain ia tidak baik bagi imej dan reputasi buat kedua-dua syarikat berkenaan, tindakan tersebut juga memberi impak tidak baik kepada Malaysia dan klia2.

Selaku pelabur, tabung dana pencen itu mengambil berat berhubung kemelut yang melanda kedua-dua entiti berkenaan katanya.

“Oleh sebab itu, kami menulis surat kepada AirAsia dan MAHB, bukan untuk menjadi pengantara tetapi kami prihatin terhadap keadaan yang berlaku.

“KWSP harap isu itu dapat diselesaikan dengan baik,” katanya yang mengesahkan bahawa KWSP ada menulis surat kepada syarikat tambang murah dan pengendali lapangan terbang itu.