KAJANG – “Datang anak dia (Najib), pergi swastakan Felda. Kalau Almarhum Tun Razak boleh bangun (dari kubur) dia cekik anak dia,”.
Itu gambaran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas dakwaan Datuk Seri Najib yang Pakatan Harapan (PH) gagal menjaga legasinya bapanya, Felda.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata demikian selepas ceramah Isu Semasa di Kampung Rinching Hilir, Semenyih sempena kempen PRK DUN Semenyih malam ini.
Turut hadir ialah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md. Jidin dan calon PRK Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.
Menurut Mohamed Azmin, PH ternyata mendukung amanat Tun Razak agar terus menjaga peneroka Felda namun amanat itu dikhianati oleh anaknya sendiri.
“Dia tuduh kita khianat Melayu. Tengok sahaja Felda kita dukung amanat Almarhum Tun Razak buka tanah kerajaan dan beri tanah Felda kepada peneroka dan bantu masyarakat supaya angkat ekonomi mereka dan jurangkan kesenjangan ekonomi masyarakat.
Najib yang juga mantan Perdana Menteri sebelum ini mendakwa kerajaan PH yang gagal menunaikan janji peneroka Felda untuk menghapuskan hutang peneroka.
Pada Januari lalu, Najib berkata, sebelum PRU-14, beliau telah dituduh sebagai pemimpin yang zalim kerana tidak membela nasib peneroka.
“Mana perginya muka penuh emosi pemimpin Anak (Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman) yang kata dia bukan berjuang untuk jawatan sambil tangis-tangisan dalam klip video tular itu?
“Sebelum PRU-14, mereka tuduh Najib zalim kepada peneroka, tak jaga peneroka. Selepas mereka menang dan gagal untuk jaga peneroka, mereka tuduh Najib terlalu banyak memberi pinjaman mudah kepada peneroka dan terlalu kerap memberi ‘rasuah’ kepada peneroka,” kata Najib.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, Felda mula dilanda kemelut pentadbiran apabila Najib melantik Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi.
“Lihat sahaja saham FGV, daripada RM4.70 merudum kepada 30 dan 40 sen sahaja.
“Siapa uruskan Felda, Pengerusi Felda siapa? Felda hutang RM8 bilion. Kita tidak jangka Felda boleh menghadapi hutang yang begitu besar.
“Pengerusinya Melayu, Lembaga Pengarahnya Melayu, bukan Melayu biasa, Melayu UMNO.
“Tetapi mereka ini pengkhianat. Pengerusi Felda bukan Lim Kit Siang, tapi (Tan Sri) Isa Samad,” katanya dihadapan lebih 200 pengundi Pusat Daerah Mengundi Sungai Kembung dekat sini.
“Nak salahkan DAP buat apa. Kata ini salah PH yang dikuasai oleh DAP. Kamu ada kuasa ada jawatan, jadi pengerusi dan menteri tapi kamu khianat kepada orang Melayu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette