Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias

KUALA LUMPUR- Wakil AirAsia mengadakan pertemuan dengan pemegang saham terbesarnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung isu cukai lapangan terbang dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu bersetuju dengan pandangan KWSP yang mana pertikaian antara syarikat berkenaan dan MAHB memberi kesan buruk kepada negara dan industri pelancongan.

Tony sebelum itu bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias di ibu pejabat KWSP di ibu negara.

Tony telah memberi penjelasan mengenai isu tersebut kepada Tunku Alizakri dan menegaskan AirAsia tidak pernah memulakan tindakan mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian berkenaan.

“Hakikatnya, kami telah mencadangkan supaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menjadi orang tengah mengikut peruntukan Akta Mavcom 2015 bagaimanapun usul tersebut telah ditolak oleh MAHB.

“Malangnya, Mavcom juga telah membuat keputusan untuk lepas tangan dalam isu ini meskipun perkara berkaitan cukai lapangan terbang adalah di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tony juga lega dengan maklum balas positif KWSP dan berharap isu tersebut boleh diselesaikan dengan segera.

KWSP merupakan pemegang saham terbesar di dalam AirAsia dan MAHB.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KWSP mahu AirAsia, MAHB henti pertikaian

Saman MAHB ke atas AirAsia sudah dirujuk di mahkamah