Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pembangkang menyifatkan kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung prestasi perkembangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2018 sebagai syok sendiri.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali menjelaskan, pihaknya terkilan dengan kenyataan itu yang hanya menggambarkan beberapa perkembangan positif dan mengabaikan keseluruhan prestasi ekonomi seperti didedahkan Bank Negara Malaysia (BNM) pada 14 Februari lalu.

Katanya, apa yang didakwa oleh Guan Eng sebagai kejelasan polisi kerajaan dalam membantu pertumbuhan ekonomi adalah separuh benar.

“Ini kerana, permintaan dalam negeri secara keseluruhannya perlahan. Pertumbuhan masih dijana oleh penggunaan swasta sebanyak 8.5 peratus berikutan tempoh ‘tax holiday’ pada Suku Ketiga 2018.

“Walaupun begitu, pelaburan swasta atau perbelanjaan modal tetap tidak memberangsangkan bagi seluruh sektor ekonomi,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Sabtu lalu, Guan Eng dalam kenyataannya memberitahu, KDNK berkembang baik pada kadar yang lebih tinggi, iaitu 4.7 peratus tahun ke tahun pada suku keempat 2018, berbanding pertumbuhan suku ketiga iaitu 4.4 peratus tahun ke tahun.

Peningkatan itu, kata Menteri Kewangan itu, dicapai meskipun terdapat cabaran luaran dalam bentuk perang dagang yang berterusan antara China dan Amerika Syarikat.

Menurut Dr. Mohd Khairuddin, bagi penggunaan dan pelaburan awam juga menunjukkan trend penurunan disebabkan oleh perbelanjaan bekalan, perkhidmatan dan modal terus rendah.

Ujar beliau, dari aspek penawaran, setiap sektor ekonomi hanya menunjukkan perubahan yang marginal.

“Tiada apa-apa perubahan drastik melainkan bagi sektor perlombongan berikutan daripada pengeluaran kembali aktif selepas berlaku penutupan loji pengeluaran bagi tujuan penyelenggaran.

“Sektor pertanian dan sektor pembinaan bagi subsektor kejuruteraan awam dan subsektor kediaman pula terus gagal dipulihkan,” katanya.

Kata beliau, walaupun purata inflasi keseluruhan 1.0 peratus iaitu kadar paling rendah sejak tahun 2009, Kementerian Kewangan juga harus mengakui ia adalah disebabkan oleh inflasi bukan teras iaitu harga petrol RON95 dan diesel.

Sebaliknya, menurut beliau, inflasi teras meningkat kepada 1.6 peratus dan kadar yang rendah disebabkan kemerosotan pada permintaan, bukan oleh penurunan kos pengeluaran.

Mengenai hutang Kerajaan Persekutuan, Dr. Mohd Khairuddin berkata, berdasarkan data dikemukakan BNM, jumlah keseluruhan hutang berakhir Disember 2018 adalah RM741 bilion.

Ini bermakna, berlaku peningkatan sebanyak RM54.2 bilion berbanding tahun 2017 sebanyak RM686.8 bilion.

“Walaupun pelbagai bantuan rakyat telah disekat, jumlah tetap meningkat. Bagaimana dengan Tabung Harapan? Mengapa jumlah perbelanjaan pembangunan menokok mendadak daripada RM43 bilion kepada RM55.3 bilion? Ke mana perginya perbelanjaan tersebut?” soal beliau. – MalaysiaGazette