Idris Ahmad
Naib Presiden Pas Pusat, Idris Ahmad

KUALA LUMPURĀ – Parti Islam SeMalaysia (Pas) berasa kesal dengan pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terikut-ikut dengan budaya politik fitnah Pakatan Harapan (PH) apabila turut memfitnah parti itu dengan dana RM90 juta.

Naib Presidennya, Idris Ahmad menegaskan, walaupun Presiden PKR itu marah dengan Pas, beliau tidak sewajarnya menuduh Pas cuba melindungi kes RM90 juta apabila menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pas tidak percaya Datuk Seri Anwar dituduh liwat, walau pun mahkamah telah menjatuhkan hukuman. Malahan Tuan Guru Haji Hadi Awang mengeluarkan buku membincangkan bab Qazaf.

“Tiba-tiba Datuk Seri Anwar kata Pas sokong Tun Mahathir sebagai perdana menteri hingga PRU15, sebagai usaha untuk hendak melindungi kes RM90 juta. Dahsyat.

“Tidak sangka saya, pemikiran Datuk Seri seperti sesetengah pemimpin PH yang memang sudah tahu budaya politik fitnah mereka. Kalau marah kepada Pas jangan pula fitnah PAS isu RM90 juta. Carilah isu lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Anwar melemparkan tuduhan bahawa tindakan Pas mendakwa wujudnya pembelotan dalam kalangan parti komponen PH hanya satu usaha Pas untuk mengalihkan daripada isu siasatan dana RM90 juta daripada UMNO.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa dua parti komponen PH mungkin merancang untuk menyingkirkan Dr Mahathir melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Takiyuddin mendakwa, partinya merasakan ada yang tidak kena dengan cara Dr Mahathir bercakap tentang sekutunya dalam PH.

Oleh kerana itu, Pas berikrar memberi sokongan kepada Dr Mahathir ketika pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang Jumaat lalu.

Idris juga berkata, selaku bekas menteri kewangan, Anwar sepatutnya arif kepada prosedur kewangan dan beliau mempunyai akses jika mahu menyemak akaun Pas.

“Sekarang SPRM sedang mencari bukti. Pejabat SPRM sentiasa terbuka. Sila bawa bukti. RM90 juta bukan RM90. Negara ada undang-undang.

“Anak buah Datuk Seri Anwar yang berdegar-degar tuduh ada bukti RM90 juta, sampai hari ini tidak muncul. Sudah hilang di alam ghaib.

“Datuk Seri pernah menjadi Menteri Kewangan sudah pasti arif prosedur kewangan. Tentu boleh akses maklumat daripada pihak berwajib mengenai duit RM90 juta. Jangan buat malu bakal Perdana Menteri ke-8,” katanya. – MalaysiaGazette