Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah (empat kanan) bergambar dengan sebahagian wakil penjaja dan peniaga pada sidang media di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Walaupun menyokong langkah kerajaan memperkenalkan kawasan khas bebas kenderaan untuk peniaga kecil Melayu di ibu kota namun persatuan penjaja masih tetap mahu konsep tradisi seperti bazar Ramadan.

Bagi mereka bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tetap diperlukan bagi penjaja tradisi sedia ada, kata Yang Dipertua Persatuan Peniaga-Peniaga dan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Wilayah (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah.

“Kami harap DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) terutamanya Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Samad) memberi sedikit ruang kepada penganjur-penganjur tradisi iaitu yang menganjurkan bazar Ramadan setiap tahun.

“Kami berharap DBKL kaji semula dan memberi ruang kepada kami untuk menguruskan bazar Ramadan yang kami uruskan selama ini di Jalan TAR,” katanya pada sidang media berhadapan pusat beli-belah Sogo hari ini.

MGF19022019_PC PERSATUAN PENIAGA_06
Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2019

Sebelum itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pihaknya akan mengadakan satu perjumpaan dengan para peniaga sekitar Jalan TAR pada minggu ini.

Ia bagi membincangkan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk menutup Jalan Esfahan hingga Jalan Melayu kepada kenderaan persendirian bermula 15 Mac ini.

Mohamad seterusnya berkata, pelaksanaan laluan tanpa kenderaan itu mesti mengambil kira kepentingan, kebajikan penjaja dan peniaga kecil susulan penutupan bazar Ramadan di Jalan TAR bermula tahun ini.

Beliau turut melahirkan kebimbangan ketiadaan tapak bazar Ramadan akan menjejaskan periuk nasi peniaga susulan saingan perniagaan dalam talian.

“Dalam kalangan peniaga kita ini telah berumur dan tidak berapa faham tentang dalam talian jadi ini menjadi satu perkara yang cukup merunsingkan bagi peniaga kecil Melayu yang menjadi sebahagian daripada penjaja bazar Ramadan akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Jalan TAR ditutup kepada kenderaan kecuali bas bermula 15 Mac