Yang di-Pertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah (tengah) bercakap kepada media di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP) tidak akan menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan terhadap peniaga yang didapati menjual lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Yang DiPertuanya, Datuk Mohamad Abdullah menegaskan, pihaknya sedia bekerjasama dengan pihak penguat kuasa DBKL untuk memastikan lesen perniagaan tidak disalahgunakan.

“Kalau perkara ini berlaku ambil tindakan, persatuan tidak menghalang tindakan itu diambil, ini janji kami sebab kita nak berniaga kita mesti telus.

“Kalau wujud Ali Baba dan ada peniaga warga asing berniaga, tangkap sebab DBKL ada penguat kuasa rampas dan sebagainya,” katanya pada sidang media di hadapan pusat beli-belah Sogo hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sebelum ini yang bertegas akan menghentikan Bazar Ramadan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) tahun ini sebagai sebagai langkah pemutihan kepada masalah penyalahgunaan dan penjualan lesen perniagaan tempatan kepada warga asing.

Mohamad juga menegaskan, masalah penyalahgunaan lesen perniagaan DBKL oleh warga tempatan sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk menghentikan bazar Ramadan di Jalan TAR.

“Ini bukan alasan untuk batalkan bazar Ramadan kalau ada lesen perniagaan dijual kepada warga asing.

“Kalau ada pun tangkap kami persatuan tidak akan menghalangnya sebab pihak persatuan sentiasa bekerjasama dengan penguatkuasa DBKL.

“Kita nak keadaan menang-menang, kita tak nak membebankan persatuan.

Kalau persatuan terbeban kita akan sama-sama menjadi satu masalah DBKL dan Kementerian Wilayah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan