Bekas tentera, Raja Mohd Yusof Raja Othman bercakap semasa ditemubual di Kampung Sentosa, Semenyih, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 19 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Baru-baru ini tular video seorang warga emas mendakwa sebagai pengundi, beliau tidak akan memangkah mana-mana calon Melayu pada PRK DUN Semenyih kali ini.

Alasannya, selama ini beliau rasa seolah-olah sudah tertipu dengan pemimpin daripada kalangan bangsanya sendiri.

Malah Raja Mohd. Yusof Raja Othman, 82, yang merupakan pesara tentera berpangkat koperal berasa malu menjadi warganegara Malaysia yang ditadbir oleh orang Melayu kerana mendakwa pemimpin Melayu dilihat suka menindas bangsanya mereka sendiri.

Malah katanya, apa yang menjengkelkan ialah apabila pemimpin dalam kalangan Melayu tidak sedar diri dan mudah lupa dengan bagaimana mereka boleh berada di atas.

“Mereka semua bertelagah sesama sendiri, ada yang kata begitu ada pula yang berkata begini.

“Di mana letaknya semangat untuk memajukan bangsa kalau orang Melayu sendiri yang membuat angkara menindas bangsanya?

“Lebih baik saya beri undi pada Cina. Kita ini hidup dalam sebuah negara yang aman tapi dalam perkara seperti ekonomi, ada sahaja orang Melayu yang cuba menipu,” katanya kepada Malaysia Gazette di kediamannya di Kampung Sentosa hari ini.

Raja Mohd. Yusof sedih kerana banyak perkara yang melibatkan hak-hak dan kepentingan orang Melayu tidak dipedulikan oleh pemimpin Melayu sendiri.

Katanya, pemimpin Melayu lebih mementingkan kuasa dan darjat daripada menunaikan tanggungjawabnya kepada bangsa dan agama.

MGF19022019_TEMUBUAL BEKAS TENTERA02

“Jangan haraplah saya mahu beri undi kepada Melayu. Mana-mana (parti) mereka pun sama sahaja.

“Mereka guna bangsa untuk diri sendiri dan lebih mengecewakan lagi apabila mereka guna nama Melayu untuk dijadikan helah bagi mendapatkan kuasa,” ujarnya.

Beliau yang dilihat lebih cenderung kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada mulanya tetapi kecewa kerana parti itu meletakkan calon Melayu pula kali ini.

“Sekarang ini pilihan saya hanya satu iaitu calon bebas yang merupakan seorang berbangsa Cina (Uncle Kentang).

“Mungkin undi saya kali ini akan memihak kepadanya. Walaupun saya tak kenal calon itu tapi saya selesa untuk beri undi kepadanya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

VIDEO BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/18/terkini-bekas-tentera-mengamuk-di-semenyih-melayu-sudah-lama-kena-tipu/