Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR- Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) mendapati anggaran kerugian sepanjang urusniaga pertukaran milik tanah (land swap) Kementerian Pertahanan melebihi RM500 juta.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, pihaknya dimaklumkan oleh JKSTUPKK, kebanyakan projek pertukaran hak milik tanah sebelum ini tidak dirancang dengan teliti manakala pemilihan syarikat pemaju pula tidak dilaksanakan mengikut proses due diligence yang komprehensif.

Selain itu, terdapat juga campur tangan politik dalam pemilihan lokasi pertukaran tanah tersebut, katanya.

Hasil siasatan JKTUPKK yang telah dibentangkan pada 28 Januari 2019 mendapati terdapat 16 projek land swap melibatkan 2,923 ekar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai sebanyak RM4.756 bilion dan melibatkan kos projek sebanyak RM4.886 bilion.

“Keadaan tersebut telah menyebabkan sebahagian projek telah melangkaui tempoh kontrak yang telah dipersetujui sebelum ini.

“Malahan terdapat projek yang telah disiapkan tetapi kualiti pembinaan tidak memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan di hari ini.

Dengan itu, Mohamad telah mengarahkan pegawai-pegawai beliau membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, Kementerian Pertahanan telah menerima laporan akhir siasatan JKSTUPKK yang dipengerusikan oleh Tan Sri Ambrin Buang, terhadap beberapa projek termasuk land swap di Kementerian Pertahanan.

Laporan siasatan ini juga telah dibentangkan dan diterima dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 13 Februari 2019 lalu.-MalaysiaGazette