Zara Zya

KUALA LUMPUR – Pelakon Zara Zya akan menyaman seorang penulis blog sekiranya tidak membuat permohonan maaf gara-gara menimbulkan fitnah terhadap dirinya.

Menerusi Instagramnya, Zara, 34, berkata, tajuk yang digunakan penulis blog itu telah menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

“Terdapat satu posting (muat naik) bertajuk ‘Hari kekasih kantoi leher Zara Zya penuh love bite?’ melalui blog KAMI di Facebook yang cuba menjatuhkan reputasi saya.

“Kenyataan fitnah itu langsung tidak berkaitan dengan isi kandungan artikel,” tulisnya.

Zara Zya turut memberikan masa tiga hari kepada penulis blog itu untuk memadam muat naik itu serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Peguam saya, Datuk Hifdzi Hamzah menyatakan bahawa tajuk itu jelas satu bentuk fitnah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Saya meminta penulis blog itu supaya memadam muat naik itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam masa tiga hari atau saya akan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama dan reputasi saya,” tulisnya.

Dalam kenyataan itu juga, Zara meluahkan rasa kecewanya dengan tindakan sesetengah penulis blog yang sengaja menggunakan tajuk sensasi sehingga menimbulkam fitnah.

“Saya percaya penulis blog itu cuba mendapatkan populariti murahan dengan tajuk-tajuk sensasi. Namun, ia jelas satu fitnah dan menjatuhkan nama baik saya.

“Tajuk itu jelas memberikan gambaran negatif dan menimbulkan salah faham sekiranya pembaca hanya membaca tajuk tanpa membaca isi kandungan keseluruhan,” tulisnya.

Zara juga berharap supaya tidak ada lagi pihak yang mengambil kesempatan atas populariti seseorang artis untuk kepentingan sendiri. – MalaysiaGazette