Menteri Pengangkutan, Yb Loke Siew Fook (tengah) pada Majlis Pecah Tanah Menara Sentral RAC di Jalan Tun Sambathan Brickfields, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 19 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak pandang remeh susulan kejadian samun dan pukul seorang wanita tanpa belas kasihan di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Taman Mutiara, Cheras, minggu lalu.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau akan mengadakan perbincangan khas dengan semua agensi berkepentingan tentang inisiatif pencegahan tambahan bagi mengelakkan insiden seumpama itu berulang.

Bagaimanapun, kata Anthony lagi, sejak kejadian tersebut, Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) telah diminta oleh beliau untuk segera mengambil langkah-langkah pencegahan dengan lebih efisyen.

“Ini bukan satu insiden kecil yang kita boleh terlepas pandang begitu sahaja, malah saya sangat prihatin dan fokus tentang apa yang telah terjadi serta tindakan susulan selepas ini.

“Kerana itu saya telah memanggil semua agensi berkepentingan untuk bermesyuarat bersama saya dan semua keputusan berhubung perkara itu akan saya sampaikan kepada media esok.

“Tetapi pada masa yang sama, saya juga telah meminta Prasarana untuk ambil tindakan mengikut kesesuaian dan pantas, apa yang boleh dilakukan tindakan susulan dan tambahan saya minta mereka segerakan.

“Saya juga telah diberitahu, Rapid KL mengambil inisiatif pencegahan tambahan termasuk memaparkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam lif terus kepada kakitangan bertugas.

“Rakaman dapat dilihat menerusi skrin utama, sekali gus membolehkan aktiviti mencurigakan diketahui dengan lebih pantas. Kita juga fokus pada beberapa lokasi ‘hotspot’ tumpuan aktiviti jenayah selain tambahan lampu jalan,” katanya kepada pemberita sebentar tadi di Brickfields selepas Majlis Pecah Tanah Menara Sentral RAC.

Anthony mengulas insiden Khamis lalu, seorang wanita berusia 48 tahun disamun ketika menaiki lif di Stesen MRT Taman Mutiara, Cheras dan dipukul tanpa belas kasihan.

Kejadian jam 6.45 pagi itu dirakam CCTV dalam lif dan tular di media sosial.

Berdasarkan rakaman selama 55 saat itu, mangsa yang menggalas sebuah beg dan memegang beg tangan dilihat masuk ke dalam lif disusuli seorang lelaki.

Belum sempat pintu lif ditutup, suspek menyerang mangsa dengan menumbuknya di muka menyebabkan wanita itu jatuh.

Suspek membelasah mangsa tanpa belas kasihan walaupun mangsa dilihat merayu dan cuba mempertahankan dirinya.

Tambah beliau lagi, dirinya telah dimaklumkan dengan insiatif yang telah diambil oleh Prasarana yang telah menambah bilangan anggota pasukan tindakan khas (SAT) di beberapa lokasi panas seliaan RapidKL.

“Pasukan SAT adalah unit khas yang ditubuh Jabatan Sekuriti Prasarana dan berpakaian seragam ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit.

“Orang ramai disaran mengelak berjalan di laluan atau tempat sunyi.

“Pengguna pengangkutan awam kendalian Rapid KL boleh mendapatkan perkhidmatan pengiring untuk ke tempat parkir sekiranya ada keperluan.

“Kita juga tumpukan perhatian kepada kawasan parkir kereta yang sunyi dan gelap MRT, LRT, juga stesen-stesen bas ketika ini,” ujarnya.

Pihak berkuasa telah berjaya menahan suspek berusia 26 tahun malam tadi. – MalaysiaGazette