Syarikat NPO Aviation and Space Technology dari Russia sedang berusaha membangunkan sebuah kapal angkasa yang dikenali Selena Space Yatch.

LONDON – Berita gembira bagi mereka yang mempunyai impian untuk bercuti dan menikmati pemandangan yang indah di angkasa lepas

Daily Star melaporkan, syarikat NPO Aviation and Space Technology dari Russia sedang berusaha membangunkan sebuah kapal angkasa yang dikenali Selena Space Yatch.

Ketua pereka NPO, Aleksandr Begak berkata, ia mampu untuk berlepas di lapangan terbang biasa untuk dijadikan satu tarikan pelancongan ke ruang angkasa lepas.

Jelasnya, pelancong yang berminat untuk menikmati percutian tersebut boleh membuat tempahan yang bermula serendah RM800,000 ke RM1.23 juta.

“Kami boleh mendarat di mana-mana landasan kerana kapal angkasa ini mampu mendarat seperti kapal terbang biasa.

“Kami sedang menghitung waktu yang sesuai untuk melancong ke angkasa dengan mengekalkan keselesaan kepada pelancong,” katanya.

Menurut beliau lagi, kapal angkasa tersebut mampu membawa enam orang penumpang dalam satu masa dan mengililingi orbit dengan kelajuan sekitar 2,685 batu sejam (4,321 kilometer sejam) serta mencecah altitud 75 batu hingga 87 batu (121 kilometer hingga 140 kilometer).

Sementara itu, perlumbaan mencari pelancong pertama ke angkasa sedang menjadi hangat.

Minggu lalu, syarikat Virgin Galactic turut memaklumkan kapal angkasa mereka telah memasuki fasa uji kaji.

Selain menguji ketinggian altitud, syarikat tersebut juga membuat ujian penyebaran berat dalam kapal angkasa bagi persediaan penumpang pada masa akan datang. – MalaysiaGazette