Muhyiddin Yassin (kanan) dan Mohamed Azmin Ali. foto HAZROL ZAINAL, 18 FEBRUARI 2019.

KAJANG – Pakatan Harapan (PH) akan segera membincangkan soal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan dalam masa terdekat.

Naib Presiden PH, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, biar pun Mahkamah Persekutuan baharu sahaja membuat ketetapan kerusi itu kosong namun PH perlu bertindak segera mengatur strategi bagi merampasnya daripada Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin PH akan segera berbincang tentang calon yang akan mewakili PH di Rantau,” katanya kepada media selepas ceramah Isu Semasa di Kampung Rinching Hilir, Semenyih malam ini.

Hadir sama Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Bersatu, Dr. Mohd Radzi Md. Jidin.

Turut hadir calon PRK Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.

Mohamed Azmin menambah, sebarang keputusan akan diumumkan gabungan itu dalam masa terdekat.

Sebelum itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga ada menekankan perkara yang sama dan ia akan dibincangkan menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Anwar berkata secara tradisi kerusi berkenaan ialah hak milik PKR.

Mahkamah Persekutuan pada Isnin, menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN Rantau, terbatal dan tidak sah.

Panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berkata, calon PKR, Dr Streram Sinnasamy mempunyai locus standi untuk memfailkan petisyen, walaupun beliau tidak boleh menyerahkan kertas pencalonan. -MalaysiaGazette