Semenyih
Calon Pakatan Harapan PRK N.24 Semenyih, Muhammad Aiman Zainali (dua kiri) berkata sesuatu kepada peniaga ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Pasar Pagi Beranang, Semenyih. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 20 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Hasrat untuk mendapatkan hospital di kawasan ini akan terus diperjuangkan bagi memenuhi keperluan penduduk, meskipun dianggap tidak munasabah oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali berkata, penduduk di kawasan berkenaan memang mengharapkan sebuah hospital didirikan di tempat mereka ekoran sudah penat berulang-alik ke Hospital Kajang.

“Saya akan tetap membawa suara rakyat Semenyih sehingga hasrat mereka tercapai dan saya berharap suara mereka akan didengari oleh pihak atasan.

“Selain hospital, saya juga berharap kerajaan dapat menaik taraf klinik kesihatan di Semenyih supaya dapat menampung keperluan penduduk di sini.

“Kedua-dua keperluan ini amat dinantikan penduduk dalam DUN Semenyih,” katanya.

Muhammad Aiman ditemui selepas mengadakan tinjauan di Pasar Beranang di sini, hari ini.

Isnin lalu, calon berusia 30 tahun itu berkata, pembinaan hospital di Semenyih antara salah satu daripada perancangannya pada masa depan yang akan diperjuangkan jika dipilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu.

Namun, ia bukanlah janji dalam manifesto kempen pilihan rayanya.

Bagaimanapun, dalam satu sidang akhbar semalam Dr Dzulkefly menyifatkan rancangan untuk membina hospital di Semenyih sebagai tidak munasabah.

Dzulkefly dilapor berkata, pembinaan klinik kesihatan dilihat lebih wajar berbanding hospital untuk kawasan seperti Semenyih. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/02/19/janji-bina-hospital-di-semenyih-perlu-munasabah-menteri/