Presiden PPPPM, Hj Rosland Mohd Arif pada Majlis Perasmian Pusat Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna Dan Peminjam Malaysia (PPPPM) turut serta di Spectrum Bandar Baru Ampang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

AMPANG – Kereta ditarik, rumah disita sebenarnya bukannya jalan mati kepada individu yang menanggung hutang bank tertunggak malah jika muflis sekali pun masih ada jalan keluar.

Presiden Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, pihaknya pernah berjaya menyelesaikan satu kes mangsa dalam masa satu jam sebelum bank melelongnya.

“Ada satu kes di mana seorang individu berjawatan tinggi di mana rumah banglo tiga tingkatnya hendak dilelong, saya dapat hentikan, bayaran kereta tertunggak lapan bulan pun saya dapat hentikan.

“Malah saya sempat menyekat daripada syarikat mangsa daripada ditutup oleh pihak bank.

“Saya runding dengan pihak bank dapat bayar secara ansuran. Tiada kebangkrapan, tiada penutupan syarikat dan tiada lelongan, selesai satu orang ada tiga masalah,” katanya kepada sidang media selepas perasmian pejabat 4PM di pusat beli-belah Spectrum Ampang hari ini.

Rosland Mohd Arif
Presiden PPPPM, Hj Rosland Mohd Arif bercakap kepada media selepas Majlis Perasmian Pusat Biro Pengaduan Awam Persatuan Penyelesaian Pengguna Dan Peminjam Malaysia (PPPPM) turut serta di Spectrum Bandar Baru Ampang, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 FEBRUARI 2019

Rosland berkata, pihaknya membantu para peminjam yang bermasalah dengan cara mereka menjadi ahli persatuan dengan bayaran minimum atau mengikut kemampuan masing-masing.

“Pengadu kena jadi ahli dan persatuan ini dibenarkan menerima sumbangan dan kalau sudah berjaya mereka hendak beri sumbangan kami terima.

“Ada ahli-ahli kita telah berjaya saya tolong tanpa ambil apa-apa bayaran walaupun yuran ahli sekali pun, saya tak ambil sebab saya buat kerja dulu.

“Dia nak beri kemudian, terserah kita tak boleh fokus duit. Kalau fikir duit tak selesai masalah orang. Kita duduk dalam bidang ini lebih-lebih lagi saya sebagai presiden kalau cerita pasal duit tak selesai masalah orang.

“Duit nombor dua, macam yuran ahli RM200 setahun sekali, memang besar jumlah itu. Alhamdulillah yang paling penting masalah dia macam mana kita hendak atasi, dia kena telus beritahu masalah itu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Rosland juga tidak menafikan pihak bank seolah-olah gentar apabila mengetahui peminjamnya mendapatkan bantuan 4PM memandangkan mereka mempunyai kepakaran dan ahli dalam setiap selok belok pengurusan, undang-undang dan jual beli.

“Sebulan kita pernah tangani sekurang-kurangnya 60 kes. Ada kes pengadu tak perlu datang, cukup dengan telefon dan saya beri penerangan apa yang perlu dibuat oleh dan lampirkan kepada 4PM.

“Bank telah beri kerjasama kepada saya. Bank tahu sebelum PPPPM datang, baik mereka selesaikan.

“Kalau 4PM datang, banyak bising, memang kita beri tekanan, persatuan yang mendesak pihak bank untuk membantu pengadu.

“Kalau bank tak boleh berbincang, masalah dia lagi berat. Saya akan buat aduan semaksimum mungkin dan banyak masalah saya akan uar-uarkan kepada orang yang saya jumpa itu,” katanya.

Ditanya tentang peranan 4PM cuba membayangi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Rosland berkata, pihaknya hanya tumpu kepada kes sivil, bank dan syarikat kredit.

“Saya kenal Datuk Nadzim Johan. Beliau fokus kepada banyak kes pengguna, kes ah long, kes gores dan menang, halal hab,  saya tak buat semua itu.

“Hanya isu ah long dan peminjam wang sahaja saya buat. Saya hanya fokus masalah tentang bank, kredit, sivil dan kes faraid,” katanya lagi. – MalaysiaGazette