Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menyerahkan replika kunci kepada salah seorang pembeli, Nur Afiqah Muhammad Zamri (kiri) sambil diperhatikan Pengerusi The Edge Property Sdn. Bhd, Datuk Tong Kooi Ong (kanan) pada Majlis Pelancaran Skim FundMyHome-Depositku di Taman Pelangi Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperkenalkan Skim FundMyHome-Depositku bagi menyelesaikan masalah pembayaran pendahuluan sebanyak 20 peratus bagi pembeli rumah pertama.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, skim itu membolehkan pembeli rumah mendapat pinjaman daripada kerajaan sehingga RM30,000.

Beliau menyifatkan skim itu unik kerana tanpa pembayaran balik bulanan selama lima tahun dengan pembeli boleh menyalurkan simpanan mereka ke arah pembinaan ekuiti rumah mereka.

“Di bawah skim, pembeli rumah yang ingin membeli rumah bernilai RM307,000 perlu membayar 20 peratus daripada harga belian atau RM61,400 untuk memilik rumah tersebut.

“Baki 80 peratus atau RM245,000 akan dibiayai oleh institusi. Dengan Skim FundMyHome-Depositku pembeli yang sama kini boleh memohon pinjaman sebanyak RM30,000 dari kerajaan untuk membantu pembayaran sebanyak 20 peratus yang diperlukan itu.

“Dengan ini, pembeli rumah hanya perlu membayar RM31,400,” katanya.

Zuraida berkata demikian pada pada sidang media selepas melancarkan Skim FundMyHome-Depositku di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau telah menyampaikan replika kunci rumah kepada 20 pembeli skim tersebut bagi Aparment Harmoni di Taman Eco Majestic di sini.

Zuraida menambah, bagi pembeli bumiputera, mereka layak mendapat diskaun sebanyak tujuh peratus atau RM21,490.

Jelas beliau, ini membolehkan pembeli tersebut hanya perlu membayar sebanyak RM9,910 untuk terus memiliki rumah tersebut dan mendiaminya.

“Skim FundMyHome-Depositku merupakan pilihan cara baharu untuk membeli rumah dengan tumpuan kepada kumpulan B40.

“Skim ini adalah invoasi kepada mereka terutamanya yang berdepan masalah slip gaji dan tiada pendapatan bulan tetap seperti golongan peniaga.

“Jadi mereka boleh menggunakan skim ini dengan golongan B40 dapat membeli rumah pertama di bawah harga RM300,000.

“Jadi KPKT tampil membantu menyediakan bantuan deposit jika tidak cukup dan bayaran semula hanya bermula pada tahun kelima dengan kadar faedah dua peratus,” katanya. – MalaysiaGazette