SINGAPURA – Harga minyak melonjak berhampiran paras tertinggi 2019 dalam dagangan hari ini, disokong oleh pengurangan bekalan oleh OPEC dan sekatan eksport ke atas Iran dan Venezuela.

Bagaimanapun, lonjakan itu terhad disebabkan peningkatan pengeluaran minyak oleh Amerika Syarikat dan jangkaan kelembapan ekonomi.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada AS $ 55.93 setong pada 0042 GMT, turun AS$0.16 sen daripada harga penutup, tidak jauh daripada harga tinggi yang direkodkan pada tahun ini iaitu AS$56.33 yang dicecah pada awal minggu ini.

Harga Brent masih belum didagangkan tetapi ia turut mencecah AS$66.83 setong pada minggu ini.

Peningkatan harga bahan bakar itu telah dipacu oleh pengurangan bekalan oleh OPEC.

OPEC dan Arab Saudi yang merupakan pengeksport minyak terbesar dunia telah mengurangkan penghantaran minyak ke Asia pada bulan Mac dalam usaha untuk mengawal lebihan bekalan di pasaran.

Kartel minyak itu, termasuk sekutunya, Rusia telah bersetuju pada akhir tahun lalu untuk mengurangkan bekalan sebanyak 1.2 juta tong sehari untuk menangani lebihan bekalan.

Lebihan bekalan di pasaran telah mengakibatkan harga minyak semakin murah. – MalaysiaGazette