Presiden Indonesia, Joko Widodo (kanan) dan Jawatankuasa Olimpik Indonesia telah menghantar surat kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

JAKARTA – Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Jawatankuasa Olimpik Indonesia telah menghantar surat kepada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang berpangkalan di Lausanne, Switzerland.

Jakarta Post melaporkan, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Muddai Madang berkata, negara bersedia menjadi hos temasya sukan terbesar di dunia itu.

Beliau juga memohon sokongan daripada warganegara Indonesia dan komuniti antarabangsa.

Kejayaan Indonesia menjadi tuan rumah Sukan Asia pada tahun lalu telah mendorong faktor mereka untuk membida Sukan Olimpik Musim Panas.

Bidaan itu merupakan temasya ke-32 setelah kali pertama dianjurkan pada tahun 1986 di Athens, Greece.

Sekiranya negara Garuda ini terpilih, mereka akan menjadi negara Asia keempat berjaya menjadi hos Sukan Olimpik selepas Jepun dua kali menganjurkannya pada 1964 dan 2020.

Bandar raya Seoul, Korea Selatan menjadi tuan rumah pada edisi 1988 manakala Beijing, China menjadi hos pada 2008.

Namun bidaan Indonesia itu akan dicabar oleh India selain Korea Selatan dan Korea Utara juga dilaporkan akan bergabung untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2032.

Pengumuman rasmi pemilihan tuan rumah temasya itu dijangka akan dibuat pada 2025.

Sukan Olimpik 2020 menyaksikan Tokyo, Jepun dipilih sebagai hos. dan Paris, Perancis menjadi tuan rumah bagi temasya 2024.

Bandar raya Los Angeles di Amerika Syarikat pula menjadi tuan rumah untuk temasya 2028. – MalaysiaGazette