Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad diringi Timbalan Menteri Kesihatan, Yb Dr. Lee Boon Chye (dua kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min (dua kanan) bercakap pada sidang media khas di Ruang Legar Bilik Gerakan, Kompleks E, Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 20 FEBRUARI 2019

PUTRAJAYA – Isu hospital swasta Pantai Sungai Petani Kedah yang mengeluarkan iklan biasiswa berbaur rasis kini telah selesai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzuklefly Ahmad berkata, pihak di luar tidak perlu lagi membesarkan-besarkan  isu itu kerana hospital itu sudah memohon maaf secara terbuka.

“Kami kementerian dimaklumkan mengenai insiden itu dan kami ada mendapatkan penjelasan pihak hospital yang bekerjasama baik menjelaskannya.

“Mereka menyedari perbuatan mereka amat mendukacitakan dengan mengambil kira reputasi dan imej hospital itu dalam sektor kesihatan dan minta maaf secara terbuka.

“Maka saya rasa isu ini sudah selesai dan harap perkara sebegini tidak berulang lagi pada masa akan datang ,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dzulkefley berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kementerian dalam isu tersebutsusulan sepanduk tawaran biasiswa bersifat rasis di Hospital Pantai Sungai Petani, Kedah hari ini mengaku salah serta membuat permohonan maaf secara terbuka.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Hospital Pantai Sungai Petani mengakui sepanduk berkenaan digantung kakitangan hospital itu tanpa kebenaran yang jelas mencerminkan nilai organisasi berkenaan.

“Maklumat itu sudah dibetulkan segera dan Kami juga bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan dan memberi jaminan perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi,” kata hospital itu.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar sepanduk tawaran biasiswa daripada Pantai Hospital Sungai Petani bagi mengikuti pengajian peringkat diploma dalam jurusan kejururawatan.

Bagaimanapun, sepanduk berkenaan menerima kecaman terutamanya daripada netizen berikutan Pantai Hospital Sungai Petani hanya memberi keutamaan kepada calon daripada kaum Cina, India, Siam serta mereka beragama Kristian sahaja. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Iklan biasiswa perkauman: Hospital swasta mohon maaf