PUTRAJAYA – Hukuman penjara lapan bulan kepada Ahli Dewan Undangan (ADUN) Meru Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar atas sabitan kenyataan berbentuk fitnah pada perhimpunan #KitaLawan empat tahun lalu diganti kepada denda RM1,800.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri yang daripada Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan perkara itu selepas membenarkan rayuan tertuduh.

Hakim Umi Kalthum berkata, mahkamah sebulat suara mengetepikan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan menggantikannya dengan denda RM1,800.

Mahkamah turut menetapkan Mohd Fakhrulrazi dipenjara selama enam bulan jika tidak membayar denda berkenaan.

Justeru Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) itu terselamat daripada hilang kelayakan sebagai ADUN Selangor ini kerana undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor menyatakan ADUN akan hilang kelayakan jika disabitkan atas suatu kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara lebih satu tahun atau denda lebih RM2,000.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 27 Februari 2018 mengekalkan sabitan kes fitnah dan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi berhubung kenyataannya ketika perhimpunan #KitaLawan pada 2015.

Ketika itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah, menolak rayuan balas tertuduh dan pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 25 Ogos 2016.

Mahkamah Sesyen sebelum itu mengenakan hukuman penjara lapan bulan terhadap Mohd Fakhrulrazi selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette