Sebuah telefon bimbit berasap sehingga menyebabkan penumpang di dalam tren diselamatkan di Singapura

SINGAPURA – Sebuah tren di stesen MRT Dhoby Gaut terpaksa dikosongkan apabila kepulan asap keluar daripada sebuah telefon bimbit penumpang semalam.

Menurut Pertahanan Awam Singapura, kejadian bukan sengaja itu didakwa berpunca daripada pendawaian elektrik pada telefon bimbit.

Tiada kebakaran mahupun kecederaan dilaporkan akibat insiden berkenaan.

Menurut seorang pembaca Straits Times yang enggan dinamakan, dia sedang menaiki tren berkenaan dan berdiri tidak jauh dari pemilik telefon bimbit itu sebelum melihat asap mula keluar daripada alat peranti tersebut.

Telefon bimbit tersebut diletakkan di poket belakang pemiliknya.

“Pemilik telefon bimbit tersebut sedang berbual-bual dengan dua rakannya dan tiba-tiba dia kelihatan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengeluarkan telefon berkenaan.

“Dia kemudiannya bertindak mencampakkan telefon berkenaan. Saya nampak asap daripada telefon tersebut tetapi tiada kebakaran,” katanya.

Tambahnya, poket belakang lelaki tersebut terbakar sedikit manakala tangannya melecur selepas insiden berkenaan.- MalaysiaGazette