Bahang kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih semakin dirasai apabila semakin banyak bendera parti-parti yang bertanding mula dinaikkan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Rinching Hilir, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 19 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Dua orang wartawan dan dua jurukamera sebuah akhbar tempatan yang membuat liputan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih mendakwa diganggu dengan makhluk halus yang ‘menetap’ bersama mereka di rumah inap.

Kediaman itu terletak di sekitar Broga dan berhampiran dengan sebuah universiti swasta.

Keempat-empat mereka mula merasakan kewujudan makhluk halus itu apabila diganggu pada malam ketiga semasa berada di rumah berkenaan.

Menurut salah seorang daripada mereka memberitahu, sebelum memasuki rumah inap itu, dia sempat berjumpa dengan penyewa rumah tersebut.

Dakwanya, penyewa itu bersikap pelik apabila tiba-tiba memberitahu rumah tersebut selamat dan tidak ada gangguan tanpa semena-mena.

“Gangguan itu bermula pada malam ketiga. Sehari sebelum kami masuk, ada orang duduk. Dia kata rumah ini tidak ada apa-apa, tidak ada hantu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tetapi, wartawan itu mendakwa, rakannya perasan ada bau aneh dari dalam salah satu bilik semasa memasuki rumah berkenaan.

“Rumah itu dua tingkat, ada kawan mahu duduk bilik seorang, jadi dia pilih bilik paling kecil di tingkat atas.

“Masuk sahaja bilik tu, dia perasan bilik bau macam seterika hangit,” katanya.

Tambah wartawan itu, kaki mereka digeletek ketika hendak tidur di bilik berkenaan pada waktu malam.

Tidak cukup dengan gangguan itu, mereka juga terdengar ketukan di pintu hadapan tetapi selepas dilihat tiada sesiapa di pintu tersebut.

“Semasa duduk dalam bilik, saya sedang telefon, tiba-tiba dengar ada orang beri salam, bila tengok tidak ada orang.

“Tapi, saya dengar suara orang muda beri salam, saya pun jenguk dari dalam, tiada orang,” tambahnya.

Meskipun berdepan dengan ‘gangguan’ tersebut, mereka tiada pilihan lain kerana rumah inap berkenaan telah pun disewa untuk 14 malam, bermula sehari sebelum penamaan calon PRK Semenyih. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.