Khairy
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (tengah) bersama pemuda melaungkan kata-kata semangat pada Sembang Santai Anak Muda sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih di Bilik Gerakan Sungai Lalang, Semenyih. foto SYAFIQ AMBAK, 21 FEBRUARI 2019

SEMENYIH – Memasuki hari keenam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, giliran bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turun berkempen.

Bagaimanapun, aura bekas Menteri Belia dan Sukan itu tidak mampu untuk melawan fenomena ‘Bossku’ oleh Datuk Seri Najib Razak.

Hadir dalam program ‘Sembang Santai Anak Muda’ di Bilik Gerakan BN Cawangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih, jumlah penduduk yang mengikuti ceramah Ahli Parlimen Rembau itu tidak sampai 100 orang pun.

Ia jauh berbeza dengan program ‘Santai Bersama Najib’ yang diadakan di padang Flat Baiduri, Bandar Tasek Kesuma, pada Isnin lalu yang menerima kunjungan lebih 1,000 peserta.

“Datuk Seri Najib bebas untuk turun kempen dan kalau sekiranya beliau menerima sokongan maka kita kena terima dan ini adalah hak dan beliau bebas untuk kempen,” jelas Khairy.

Rata-rata pengundi kagum dengan fenomena ‘Bossku’ dan tanpa segan silu memberi sokongan terhadap Najib.

Khairy sebelum ini agak lantang dalam menyuarakan pendapat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di zaman pentadbiran Najib.

Malah beliau turut mengkritik Najib setelah Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan yang pertama dalam sejarah Pilihan Raya Umum (PRU).

Difahamkan, Najib akan turun kali kedua ke Semenyih esok bagi bertemu pengundi kawasan itu sempena PRK. – MalaysiaGazette