Muhyiddin
Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas sempena Pilihan Raya Kecil N.24 Semenyih di Bilik Gerakan Utama, Semenyih, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 FEBRUARI 2019.

SEMENYIH – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih sememangnya mempunyai masalah komunikasi.

Jelas beliau, halangan itu dilihat tidak akan mengurangkan prestasi anak muda tersebut dan diperlekehkan oleh mana-mana pihak.

Muhyiddin berkata, pengalaman singkat Aiman dalam politik tidak harus menjadi kayu pengukur bagi pengundi dan meminta agar pengundi Semenyih melihat beliau mampu menjadi wakil rakyat yang efektif pada masa akan datang.

“Saya akui (masalah komunikasi itu), tetapi sebagai anak muda baru, kalau masuk bertanding dia perlukan masa untuk sesuaikan dengan keadaan, kerana dia seorang yang bijak, berkelulusan, bertenaga, dan potensi untuk jadi wakil agak berkesan itu ada, bukan jangka sekarang tapi masa depan.

“Tetapi jangan jadikan itu satu gambaran seolah-olah dia tidak layak, tak mampu buat kerja, sudah tentu kita akan perbaiki prestasi, persembahan dia dengan cara agak semula jadi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di DUN Semenyih, hari ini.

Aiman sebelum ini dikritik media apabila calon muka baru itu mengalami kesukaran untuk berkomunikasi dengan media dan pengundi di DUN Semenyih. -MalaysiaGazette