Mohd. Rafiq Naizamohideen

BANGI – Sudah sah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan melebarkan sayapnya ke Sabah dalam masa dua bulan lagi.

Bagaimanapun, parti itu dilihat akan dikuasai oleh bekas pemimpin-pemimpin UMNO di negeri itu yang bertindak keluar parti pada Disember tahun lalu.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu merangkap Penyelaras Bersatu Sabah, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen, parti itu akan dipimpin oleh sebilangan daripada 14 bekas pemimpin UMNO negeri.

Ujarnya lagi, kesemua bekas pemimpin UMNO itu akan menyerahkan borang keahlian masing-masing kepada Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas pendaftaran cawangan dan bahagian parti itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Kita dapat banyak permohonan daripada beberapa bekas Ahli Parlimen, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas senator dan bekas ketua bahagian UMNO untuk menyertai Bersatu di Sabah.

“Pimpinan UMNO ini mempunyai kualiti dan boleh menyumbang kepada kekuatan Bersatu dan PH. Ada senarai yang ingin menyertai dan biarlah ia diadakan satu majlis penyerahan secara sah kepada pimpinan,” katanya selepas menjadi ahli panel untuk Program Bicara Persada: Cameron Highlands ke Semenyih: Adakah Landskap Politik Akan Berubah? di UKM, Bangi hari ini.

Pada 12 Disember lalu, UMNO Sabah dilihat lumpuh apabila lima ahli Parlimen, sembilan ADUN, 21 ketua bahagian dan dua senator UMNO Sabah mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas.

Ahli Parlimen terlibat ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Yamani Hafez Musa (Sipitang), Datuk Azizah Mohd. Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran) dan Datuk Rahim Bakri (Kudat).

Sementara itu, ADUN pula adalah Datuk Seri Hajiji Mohd. Noor (Sulaman), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Musbah Jameh(Tempasuk), Datuk Gulam Haidar Khan (Kawang), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Matbali Musah (Lumadan) dan Datuk Nizam Titingan (Apas). – MalaysiaGazette