Bursa Malaysia dibuka dengan kecenderungan negatif hari ini, berikutan harga minyak sawit mentah (MSM) dan harga minyak mentah yang rendah terus mempengaruhi sentimen pasaran.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memadamkan kerugian awal untuk ditutup tinggi hari ini, berikutan kalangan mereka yang menumpukan untuk membeli semasa harga rendah mengambil peluang mengaut keuntungan, dengan berlatarbelakangkan pasaran serantau yang kukuh.

Pada 5 petang, petunjuk asas FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.50 mata untuk ditutup pada paras tertinggi dalam tempoh antara harian kepada 1,730.68 berbanding 1,726.18 semasa penutupan Rabu.

Selepas dibuka 3.81 mata lebih rendah pada 1,722.37 hari ini, FBM KLCI turut mencecah harga terendah pada 1,719.67.

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran serantau positif memberi isyarat akan kemajuan dalam perbincangan perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

“Indeks saham Asia-Pasifik paling meluas MSCI di luar Jepun meningkat 0.1 peratus dan momentum itu turut dilihat dalam pasaran saham tempatan.

“Lagipun, sentimen belian mendapat dorongan daripada berita harga minyak lebih tinggi, dengan petunjuk asas antarabangsa bagi niaga hadapan minyak mentah Brent naik 0.2 peratus kepada US$67.20 setong dan niaga hadapan minyak di US West Texas Intermediate (WTI) 0.4 peratus lebih tinggi pada US$57.39 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.53, Public Bank susut enam sen kepada RM25, Tenaga menokok 12 sen kepada RM13.50 dan Petronas Chemicals turun 10 sen kepada RM9.05.

Bagi saham aktif, Sapura Energy kekal pada 32.5 sen, Bumi Armada turun dua sen kepada 20.5 sen dan Iskandar Waterfront menokok 10.5 sen kepada 59 sen.

Kedudukan pasaran positif dengan 509 kaunter untung dan 398 kaunter rugi manakala 399 kaunter kekal tidak berubah, 548 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan menyusut kepada 3.71 bilion unit bernilai RM3 bilion daripada 3.82 bilion unit bernilai RM3.26 bilion semalam.

Indeks FBM Emas meningkat 43.14 mata kepada 12,083.93, Indeks FBMT 100 naik 40.96 mata kepada 11,938.47 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 21.13 mata kepada 12,062.58.

FBM 70 meningkat 90.84 mata kepada 14,577.22 dan Indeks FBM Ace naik 71.51 mata kepada 4,771.20.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 69.68 mata kepada 17,853.41, Indeks Perladangan jatuh 46.08 mata kepada 7,452.48 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.03 mata kepada 68.46.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama adalah rendah pada 2.54 bilion saham bernilai RM2.73 bilion daripada 2.78 bilion saham bernilai RM3.03 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran susut kepada 699.79 juta unit bernilai RM161.72 juta daripada 741.67 juta unit bernilai RM162.26 juta semalam.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 463.53 juta saham bernilai RM100 juta daripada 295.17juta saham bernilai RM68.74 million.

Di Pasaran Utama, urus niaga produk dan perkhidmatan pelanggan membabitkan 290.70 juta saham, produk dan perkhidmatan perindustrian (334.54 juta), pembinaan (354.36 juta), teknologi (172.13 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (73.68 juta), hartanah (234.51 juta), perladangan (70.19 juta), REITs (7.89 juta), dana tertutup (63,200), tenaga (857.97 juta), penjagaan kesihatan (42.33 juta), telekomunikasi dan media (47.74 juta), pengangkutan dan logistik (30 juta), dan utiliti (29.04 juta).

— BERNAMA