Datuk Hafarizam Harun

KUALA LUMPUR –  Datuk Hafarizam Harun akan kekal menjadi peguam bela kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak  walaupun beliau kini menghadapi dua pertuduhan di mahkamah.

Ketika ditemui, beliau menyerahkan pertuduhan melibatkan aktiviti pengubahan wang haram yang didakwa hari ini terhadap barisan peguam yang membelanya dan tidak mahu mengulas lanjut kerana ia kini bersifat subjudis. 

Namun beliau menegaskan, akan menggunakan peluang itu untuk membersihkan namanya. 

“Saya selaku peguam akan menyerahkan barisan peguam saya yang dimetuai oleh Hasnal untuk memberi pembelaan yang terbaik kerana kes ini telah disebut dan dituduh maka ia subjudis untuk cakap tentangnya. Saya akan mengambil peluang ini untuk membersihkan nama saya,.

“Saya akan (menjadi peguam bela Najib)” katanya di luar Mahkamah Sesyen Jenayah 14 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. 

Hafarizam  merupakan peguam Najib dalam kes saman Tony Pua terhadap bekas Perdana Menteri itu atas dakwaan melakukan salah laku dalam jawatan awam berhubung isu 1MDB dan memohon ganti rugi am, teruk dan teladan, faedah, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pengamal undang-undang itu semalam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberi keterangan kemudian hari ini  didakwa di mahkamah atas tuduhan terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram RM15 juta.

Beliau yang diwakili peguam belanya, Datuk Hasnal Rezua Merican dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala mahkamah mengarahaknnya menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai.-MalaysiaGazette